Posted by: Iskandar | November 3, 2008

Malas Yang Positif

Malas dalam pandangan sesetengah orang mengambarkan sikap atau perilaku yang tidak mahu melakukan sesuatu perkara dalam tempoh waktu yang ditetapkan, namun ada juga konsep malas yang perlu diperhatikan dari sudut positif pula… Malas yang negatif boleh memundurkan diri sendiri dan juga akhirnya boleh membinasakan negara jika kemalasan yang negatif itu menjadi budaya di sesebuah negara itu.

Aku memang seorang yang sukakan pandangan positif untuk setiap perkara, biarpun sesuatu itu memang jelas kenegatifannya.. namun aku akan tetap mencari positifnya pada si pelakunya. Pandangan setiap manusia sesunguhnya amat berbeza, aku pernah berhadapan dengan seorang sahabat yang pandangannya amat menyedarkan betapa luasnya fikiran positif ini boleh menjangkau.

Sahabat itu pernah berkata “Biarpun Sejahat Mana Seseorang Itu, Tetap Ada Baiknya Jika Kita Menjadinya” lama aku berfikir kenapa perlu menjadi orang jahat semata-mata nak mencari kebaikan yang mungkin tiada?? Sahabatku menerangkan, “kita sebagai manusia yang seringkali melakukan kesilapan dan kesalahan seperti manusia lain, jadi jangan sesekali menghitung kesilapan dan kelemahan orang lain. Berbuat baik kepada semua manusia adalah lebih baik dari membenci dan melarikan diri dari bermasyarakat”

Baru aku sedar yang kita sifatkan sebagai positif sebenarnya adalah dari penilaian singkat pemikiran yang inginkan menjadikan diri kita tampak lebih baik dari orang lain, seharusnya kita lebih banyak bermuhasabah untuk berfikir betapa banyaknya perkara negatif di dalam diri kita sendiri sebelum asyik memandang dan membuat penilaian keburukan orang lain.

MALAS?? Kenapa aku kata malas ini positif? Pasti ada yang tidak setuju dengan perkara ini, tetapi inilah sifat malas yang aku ada sejak dari aku mula bekerja sebagai Juruteknik Komputer 11 tahun yang lepas. Malas dalam pekerjaan amat perlu…. tak percaya?? tak mengapa..Aku akan lebih memfokuskan konsep malas dalam kerjaya aku sebagai Juruteknik Komputer. Boleh dikatakan kerja aku ni membosankan jika tidak pandai mencari kelainanĀ  dan melakukan pelbagai kerja gila.. :-)

MALAS?? Ya.. aku malas melakukan kerja yang setiap hari prosedurnya adalah hampir sama, maka itulah setiap hari jugalah aku akan mencari alternatif supaya kerja yang aku minat ini menjadi semudah-mudahnya. Itulah caranya aku malas dalam melakukan kerja. Kalau dulu nak buat installation perlu makan masa hampir 1-2 jam untuk siapkan keseluruhan, kenapa tidak gunakan cara lain yang boleh menjimatkan masa hampir kepada 75%!! Jadi disebabkan kemalasan aku inilah aku cuba sedaya upaya untuk mendapatkan jalan alternatif supaya masa aku dapat dijimatkan. Malas ke aku??

Malas ke aku kalau aku buat kerja-kerja penyelenggaraan secara dalam talian? buat apa nak pergi onsite kalau semua kerja-kerja tu boleh diuruskan secara mudah. Konsep face-to-face mungkin boleh digunakan kalau anda penjual insuran (sekarang pun insuran dah boleh beli online) ataupun direct selling :-) Konsep berniaga dalam talian dan penghantaran secara pos juga semakin menjadi trend. Malas ke peniaga-peniaga ini semua?

Inilah yang dikatakan malas yang positif, malas yang memungkinkan manusia mencari jalan alternatif yang mudah dan akhirnya menyenangkan keseluruhan masyarakat dan akhirnya membangunkan sebuah tamadun yang cemerlang dan ‘MALAS’ untuk melakukan sesuatu perkara dengan cara ’skema’ atau mengikut ‘manual’.

Skema boleh diamalkan jika anda seorang doktor dan arkitek, jalan pintas bagi mereka bermaksud cari pasal. Walaupun begitu kini terdapat klinik maya yang boleh merawat pesakit dengan hanya melalui kecanggihan internet. Doktornya entah kat maner, tau-tau boleh amik ubat kat kaunter jek… hebatkan teknologi sekarang ni.. :-)

Malas boleh diamalkan dengan syarat anda rajin dan mampu mencari jalan alternatifnya, tapi kalau anda malas dan malas pula untuk mencari jalan keluar maka anda memang seorang yang rugi. Rugi kerana masa anda dihabiskan untuk sesuatu yang tidak bermakna.


Categories